Cari Blog Ini

Aidiladha Hari Pengorbanan




Labaikallah humma labaika. Labaikallah syarika laka labaika. Innalhamda wani’mata. La ka Wamulkalla, syarikala

Seringkali kita mendengar laungan tersebut yang memuji kebesaran Allah pada setiap kali tibanya musim haji iaitu pada bulan Zulhijjah. 10 Zulhijjah pula adalah hari di mana seluruh umat Islam di serata dunia menyambut hari kebesaran Aidiladha atau Hari Raya Qurban sebagai satu hari yang peristiwanya satu masa dahulu patut bukan sahaja diingati dan difahami malah mesti diamati dan dihayati supaya kita benar-benar dapat menyingkap maksud aidiladha itu sendiri.

Setiap kali khutbah yang diperdengarkan sejurus selepas solat sunat Aidiladha, masjid-masjid atau surau-surau dan madrasah tak lepas dengan tajuk khutbah yang sebahagiannya biasa didengari dan sudah sedia diketahui. Seperti tahun lepas, apa yang saya dengari, tajuk khutbah tak lain dan tak bukan sering kali menceritakan tentang sirah peristiwa Nabi Ibrahim a.s dalam menjalankan perintah Allah supaya mengorbankan anaknya, Nabi Ismail a.s.

Bukanlah saya ingin membantah tajuk khutbah berkenaan tetapi apa yang saya persoalkan adalah kepada ahli jemaah tadi. Sejauh manakah penghayatan kita? Ramai jemaah yang duduk membongkok seperti jemu mendengarnya dan tak kurang juga yang tertidur. Umumnya, jemaah memang ramai. Alhadmulillah, itu tak saya nafikan.

Hari raya haji atau hari raya Qurban, mengingatkan kita erti sebenar pengorbanan. Pengorbanan tak semestinya dari segi material, wang ringgit tetapi usaha, keringat, akal serta doa juga satu pengorbanan. Di sebalik kisah Nabi Allah Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s adalah simbolik kepada pengorbanan. Pengorbanan yang lebih bermakna adalah kerana Allah SWT.

Cuba kita muhasabah diri di manakah lambang ketaatan kita berbanding Rasul Allah itu. Memang, kita bukan pula Nabi apatah lagi Rasul namun salahkah kita mengambil iktibar dan pengajaran dari peristiwa itu? Sejauh mana taatnya kita pada perintah Allah? Adakah kita sebagai khalifah-Nya di muka bumi-Nya ini taat kepada perintah yang telah diperturunkan dalam Al-Quran dan hadis-hadis Nabi tanpa banyak mempersoal dan banyak berdalih?

Justeru saya menyeru serta mengingati diri saya sendiri dan anda bermuhasabah diri sempena hari yang mulia ini. Mohonlah keampunan di hari raya ini. Gunakan kesempatan 3 hari yang dibenarkan bertakbir ini sebaik mungkin. Saya dan anda, manusia tak lepas dari lalai dan leka walau hanya seketika. InsyaAllah, moga kita mendapat rahmat daripada-Nya.

Jazakumullahu khairan katsiran..~

0 komen:

Catat Ulasan

Pengikut Blog

Langgan

Masukkan emel anda untuk melanggan:

Dibawakan oleh FeedBurner